KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan ITE Education Services (ITEES) Singapura bagi kerjasama dalam bidang teknologi sebagai menyokong keperluan tenaga kerja Sarawak.
Bagi pihak Centexs, MoU ditanda tangan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman.
Sementara ITEES diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Bruce Poh dan Eksekutif Kanan (Asia Tenggara, Asia Tengah dan Asia Timur) ITE Education Services Alicia Lee.
Dalam kenyataan hari ini, melalui MoU ini Centexs komited menyokong pencapaian wawasan Sarawak 2030 serta kerjasama dengan rakan kongsi strategik dan industri.
“Kepercayaan diberikan oleh Kerajaan Sarawak dan Yayasan Sarawak dalam memperkasakan latihan Akademi Industri dan Akademi Digital, sangat bermanfaat kepada industri, orang awam dan masyarakat tempatan di negeri ini.
“Impian Sarawak untuk melahirkan belia masa depan yang mempunyai kemahiran dan kepakaran memberi impak positif dengan tujuan penambahbaikan berterusan,” kata kenyataan itu.
Justeru, MoU ini bertujuan agar kedua-dua pihak boleh membangunkan dan melaksanakan projek khusus untuk menyokong keperluan tenaga kerja Sarawak.
“Ia meliputi satu atau lebih bidang pembangunan program teknologi dan penubuhan kurikulum infrastruktur dan kemudahan, pelaksanaan rangka kerja jaminan kualiti, latihan kepimpinan dan jurulatih program teknologi.” tambahnya.
Untuk rekod, ITEES merupakan anak syarikat milik penuh Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Singapura yang ditubuhkan pada 2003 dengan matlamat berkongsi pengalaman dan kepakaran ITE dalam Pendidikan dan Latihan Kemahiran (SET) dengan masyarakat antarabangsa.
Berbekalkan lebih 57 tahun pengetahuan, keupayaan dan pengalaman, ITE dan organisasi pendahulunya, ITEES dapat membantu organisasi untuk membangunkan, menguatkan keupayaan SET mereka dalam ekonomi global yang berubah dengan pantas.
Beberapa pencapaian utama ITEES adalah mengukuhkan keupayaan dan kecekapan pedagogi jurulatih TVET dari Filipina, Kemboja, China, Sri Lanka, Malaysia, Indonesia, Brunei, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Lao PDR, dan Vietnam.
Selain itu mewujudkan keperluan untuk Latihan Teknologi Maklumat-Komunikasi untuk Mozambique dan menubuhkan Pusat Latihan Kemahiran di Bangladesh, China, India, Indonesia, Myanmar dan Filipina.
(Souce: Suara Sarawak)